MOHAMED Salah dilaporkan telah menolak kontrak baharu daripada Liverpool selepas kelab itu mahu mengurangkan terma syarat kontrak sedia ada.
Portal berita Mesir, Masrawy melaporkan bahawa The Reds bimbang untuk menawarkan Salah kontrak dua atau tiga tahun dengan syarat yang sama berdasarkan perjanjian sekarang.
Menurut sumber kepada Masrawy itu, Liverpool hanya bersedia memberikan pemain Mesir itu kontrak dua atau tiga tahun jika dia bersetuju untuk melakukan pemotongan gaji yang banyak di kelab itu.
Ia sekali gus menyaksikan masih tiada persetujuan baharu dicapai oleh kedua-dua pihak menjelang kontrak Salah yang tamat pada Jun ini.
Difahamkan, menjadi dasar Liverpool untuk berhati-hati ketika menandatangani dan menawarkan pembaharuan kontrak kepada pemain berusia lebih 30 tahun.
Jadi, tidak hairanlah bahawa rundingan menemui jalan buntu memandangkan Salah akan berusia 33 tahun apabila perjanjian semasanya tamat dengan dia merupakan pemain dengan gaji tertinggi The Reds.
Malah, Salah sendiri mahukan tempoh kontrak yang lebih panjang berbanding tempoh setahun ditawarkan oleh Liverpool.
Salah telah menunjukkan prestasi cemerlang musim ini apabila sudah meledak 23 gol dan 17 bantuan jaringan dalam 32 penampilan dalam semua pertandingan.
Sumber – Kosmo! Online