Sah! Warna Oren Bata Menjuarai Tema Raya Tahun 2024

0
533
Foto: Malay News

Shah Alam: Biarpun menyedari peningkatan kos sara hidup, orang ramai masih teruja untuk membeli baju raya bagi tampil bergaya ketika Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Mar, 49, berkata dia rasa amat bersyukur kerana kehadiran orang ramai di kedainya tidak berkurangan tanpa mengira siang atau malam.

“Orang akan lebih ramai apabila waktu malam, selalunya pelanggan akan mula membanjiri kedai selepas solat tarawih, memang tidak menang tangan.

“Alhamdulillah, kedai saya untuk minggu ini sudah tiga ke empat kali tambah stok baju, pelanggan lebih gemar untuk mencari warna baju yang sedang trending,” katanya ketika ditemui di Kompleks PKNS, di sini.

Ditanya mengenai warna trend baju raya yang menjadi sambutan pembeli, Mar mengakui oren bata menjadi salah satu warna yang laris terjual di kedainya.

“Disebabkan sambutan hangat warna oren bata, saya sampaikan perlu minta stok lebih. Dalam sehari, 20 pasang baju berwarna oren bata yang terjual.

“Antara warna yang mendapat sambutan ialah kuning air, biru gelap, merah gelap dan hijau muda,” katanya.

Turut mempersetujui populariti trend warna oren bata, Nur Alissa Irdina Azmy, 25, berkata kedai baju Melayu tidak putus dengan kehadiran pelanggan untuk kebelakangan ini.

“Kalau pelanggan datang mahukan sesuatu warna, kami tidak dapat untuk memenuhi kehendak mereka sebab stok sudah habis terjual.

“Macam kedai saya, kami tidak mempunyai warna oren bata, tetapi warna yang seakan-akan sama untuk pelanggan beli ialah ‘oren salmon’,” katanya.

Sementara itu, penjual lain Diana Amran Yahya, 37, berkata ramai ibu bapa sibuk mencari baju raya untuk kanak-kanak kerana sukar diperolehi.

“Ramai ibu bapa datang ke kedai untuk membeli disebabkan kesukaran mencari baju raya kanak-kanak di tempat lain. Saya menjual saiz baju dari bayi hinggalah ke 14 tahun.

“Saya amat menitikberatkan kualiti kain, sebab baju yang dijual adalah untuk anak-anak kita, jadi saya tak mahu guna kain yang panas untuk mereka,” katanya.

Pembeli, Amal Hayati Fauzi, 21, berkata dia gemar untuk mengikut trend warna dan rekaan terkini setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Saya sering ikuti trend semasa seperti warna oren bata yang menjadi pilihan rakyat Malaysia pada tahun ini, jadi tema baju raya saya dan sekeluarga juga ialah warna oren bata.

“Saya dapat tahu trend baju raya tahun ini apabila saya tengok TikTok, memang saya dan keluarga tidak mahu ketinggalan. Tidak sabar untuk menggayakan baju raya sedondon tahun ini bersama keluarga,” katanya.

Manakala Muhd Shaari Mohd Khairuddin, 31, pula berkata dia seorang yang ringkas dan tidak terlalu mengikut trend yang sedang tular.

“Warna baju raya pilihan keluarga besar saya pada tahun ini ialah maroon.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here