SHAH ALAM, 23 November- Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang warga Australia kerana membuang air kecil pada tembok tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Subang Jaya, minggu lepas.
Tertuduh, Chih Peter, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Berdasarkan pertuduhan, Peter didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Video rakaman kejadian tersebut turut tular di laman sosial.
Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di tempat meletak kereta USJ 19 City Mall, pada pukul 10.51 malam, 16 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.
Peguam tertuduh R. Morhaneraj memaklumkan bahawa tertuduh yang tiba dari Australia pada 13 November lalu untuk menziarahi saudaranya itu terdesak untuk membuang air kecil di kawasan tempat meletak kenderaan kerana tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika kejadian.
Namun, tertuduh tidak menyedari kejadian tersebut dirakam.
“Tertuduh sudah mendapat pengajaran tentang kejadian ini dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga diingatkan perlu menjaga adab ketika berada di negara orang.
Majistret Sasha Diana kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.