Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terus ‘terluka’ apabila konsert membabitkan kumpulan rock antarabangsa, Coldplay malam kelmarin menyebabkan keadaan rumput rosak teruk.
Situasi terbabit menyakitkan mata memandang rumput SNBJ dijaga seperti ‘ditatang minyak penuh’ bagi memastikan berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan Harimau Malaya namun dirosakkan hanya dalam tempoh sehari saja.
Nasib malang menimpa padang SNBJ itu mendapat perhatian ramai pihak terutamanya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkongsi gambar terkini stadium keramat Harimau Malaya itu di Instagramnya.
Walaupun tidak menulis sebarang kenyataan membabitkan keadaan padang SNBJ itu namun jelas situasi itu sudah pastinya mengecewakan Tunku Ismail kerana beliau adalah individu yang mengeluarkan jutaan ringgit untuk menukarkan rumput SNBJ kepada rumput Zeon Zoysia demi keselesaan Harimau Malaya beraksi di venue itu.
Sumber: Harian Metro