PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah menyifatkan memiliki dan menetap di sebuah kediaman yang besar atau mewah tidak menjanjikan sebarang kebahagiaan untuk sesebuah keluarga.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 33, kediaman bersaiz sederhana menjadi pilihan kerana menganggap rumah yang besar antara faktor boleh memisahkan hubungan sesama ahli keluarga.
“Saya lagi memilih untuk menetap di rumah bersaiz lebih kecil sebab kediaman yang besar susah untuk dijaga.
“Kemudian apabila setiap ahli keluarga memiliki ada ruang sendiri, hubungan pun akan jadi renggang.
“Jadi, lebih baiklah rumah bersaiz sederhana sebab yang penting ada hubungan keluarga lebih erat dan tidak berpaksikan perkara dalam media sosial,” katanya dalam Tiktok.
Perkara tersebut disuarakan pelantun lagu Masih Aku Cinta itu dalam sebuah video memaparkan ‘house tour’ rumah banglonya yang terletak di Hulu Langat.
Dalam masa sama, dia juga memberitahu hidupnya kini tidak lagi berlandaskan kehendak dan keperluan media sosial seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Malah baginya, rumah yang besar juga tidak menjamin kegembiraan seseorang itu kekal buat selama-lamanya.
“Saya sudah berhenti daripada melakukan sebarang perkara yang berkiblatkan media sosial sebab tidak mampu untuk puaskan hati mana-mana pihak.
“Rumah yang besar bukan jaminan untuk buat kita bahagia dan gembira atau kekal bersama selama-lamanya.
“Dalam hidup tiada istilah semuanya bersifat selamanya. Sebagai manusia yang baik, kita perlu ingat bahawa semua perkara hanyalah bersifat sementara dan sekadar pinjaman,” ujarnya.
Sementara itu, dalam video tersebut turut memaparkan dia mengupah beberapa individu untuk membersihkan kediaman tersebut selepas ibunya, Fauziah Sarman dan dua adiknya iaitu Syada Amzah serta Amir Syafiq berpindah keluar sekitar Oktober lalu.
“Tempoh hari, saya panggil orang kemaskan rumah saya. Rumah sangat besar, kalau saya dan Ubai kemas sendiri memang tidak mampu.
“Jadi, inilah pemandangan daripada luar. Rumah ini menyimpan banyak kenangan sejak tahun 2008.
“Barang memang tiada, kosong. Entah mengapa setiap kali rumah ini, selalu rasa sedih, tidak tahu mengapa,” jelasnya.
Terdahulu, pertikaian antara Shila dengan keluarganya bermula selepas Syada memuat naik hantaran mendakwa dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.
Konflik semakin memuncak apabila Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.
Shila juga memaklumkan keputusan menjual banglo tersebut kerana terlalu besar untuk dijaga dan mahu membeli sebuah rumah baharu untuk ibunya.
Selain Syada, Syafiq turut mengundang perhatian ramai apabila menuduh Shila melupakan segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan terhadapnya selama ini.
Sumber: Kosmo