Kuala Lumpur: Hasrat pasangan suami isteri untuk berbulan madu di Tukiye tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan kerana pasport yang dibawa basah.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @fikryyazman di akaun TikTok miliknya, dia memaklumkan pekerja syarikat penerbangan tidak menerima dokumen berkenaan ketika berada di kaunter untuk mendaftar masuk bagasinya.
Katanya, pekerja syarikat penerbangan itu tidak mahu mengambil risiko sekiranya dihalang meneruskan perjalanan ketika tiba ke destinasi, seterusnya pegawai itu akan didenda.
“Bukan pegawai Imigresen yang halang, sebaliknya pekerja syarikat penerbangan ketika saya mahu daftar masuk bagasi. Pasport memang tidak boleh kena air kerana mungkin menyebabkan tulisan pada dokumen itu kembang atau rosakkan cop masuk atau keluar dalam pasport itu,” katanya ketika menjawab persoalan pengguna TikTok mengenai kejadian yang menimpanya.
Fikry memaklumkan, pasportnya basah kerana terkena hujan berikutan sering berulang alik untuk bekerja di Singapura.
Disebabkan kejadian yang menimpanya, beliau kerugian sekitar RM16,000 disebabkan sudah membayar pakej dengan ejen pelancongan dan wang berkenaan tidak dapat dikembalikan.
Video yang dimuatnaik oleh Fikry itu kini sudah mendapat lebih 480,000 tontonan serta menerima pelbagai maklum balas daripada netizen.
Malah perkongsian Fikry itu turut membuka mata pengguna media sosial kerana tidak mengetahui keadaan pasport yang basah itu boleh mengakibatkan pemegang dokumen tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.
Ada juga netizen yang memberi cadangan supaya Fikry dapat mengurangkan kerugiannya seperti membeli semula tiket penebangan untuk keesokan hari serta memperbaharui pasport di pos imigresen yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber: Harian Metro