Cristiano Ronaldo Masih Berbisa, Pecah Rekod Lagi Di Arab Saudi

0
61
Foto: Sinar Harian

CRISTIANO Ronaldo terus mempamerkan bisanya pada usia 39 tahun apabila terus memecahkan rekod dengan ketajaman menjaringkan gol yang luar biasa.

Bintang Portugal itu memecahkan rekod gol terbanyak yang dijaringkan dalam semusim dalam Liga Pro Saudi.

Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan terakhir liga musim ini ketika Al-Nassr menewaskan Al-Ittihad 4-2 di Riyadh.

Ronaldo mencatatkan 35 gol dalam semusim dan memecahkan rekod Abderrazak Hamdallah yang menjaringkan 34 gol pada musim 2019 ketika bermain untuk Al Nassr.

Dalam perlawanan itu, pemenang lima kali Ballon d’Or itu berjaya membuka jaringan untuk Al-Nassr pada penghujung separuh masa pertama.

Ronaldo meraikan jaringannya ketika menentang Al-Ittihad. Foto AFP

Dia menerima hantaran jauh dari Mohammed Al-Fatil dan membuka jaringan dengan rembatan leret dari sebelah kiri kawasan itu.

Sementara itu, pada separuh masa kedua, dia menanduk hantaran daripada sepakan sudut Marcelo Brozovic pada minit ke-69 untuk gol keduanya.

Kemudian, dia digantikan lima minit kemudian dengan tepukan gemuruh daripada penyokong tuan rumah.

Ronaldo turut berkongsi catatan di media sosial selepas memecahkan rekod Liga Pro Saudi.

“Saya tidak mengejar rekod, rekod mengejar saya,” tulis Ronaldo.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here