LONDON: Buat pertama kali, dua teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh firma teknologi undang-undang Luminance, berjaya memutuskan kontrak tanpa sebarang penglibatan manusia.
Teknologi berkenaan berbincang mengenai butiran Perjanjian Tanpa Pendedahan yang sebenar antara syarikat dan seorang daripada pelanggan Luminance iaitu proSapient.
Kontrak itu berjaya dimuktamadkan dalam masa beberapa minit sahaja dan manusia hanya diperlukan untuk menandatangani dokumen, lapor Utusan.
Demonstrasi menakjubkan itu berlaku kira-kira seminggu selepas hartawan, Elon Musk meramalkan bahawa teknologi AI akan menyebabkan pengangguran sehingga tiada sesiapa perlu bekerja lagi.
Dalam perbualan dengan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak di Sidang Kemuncak AI Bletchley Park, Musk mendakwa teknologi AI akan menjadi gangguan besar dalam sejarah kerja dan akhirnya menghapuskan keperluan manusia untuk mempunyai pekerjaan.
Meskipun automasi menggantikan kerja berulang yang dilakukan secara fizikal, demonstrasi teknologi AI Luminance menunjukkan kerjaya peguam dan profesion intelektual lain pun tidak selamat.
Dalam acara diadakan di pejabat Luminance terletak di London, robot peguam itu secara sendiri membaca dan menganalisis kontrak sebelum mencadangkan pindaan dan melakukan perubahan.
Menurut Utusan, robot itu dilatih menggunakan set data mengandungi lebih 150 juta dokumen perundangan.
Malah, teknologi itu dikatakan mampu memahami bidang risiko undang-undang dan belajar daripada kontrak terdahulu.
“Misalnya, Perjanjian Tanpa Pendedahan itu pada asalnya mencadangkan kontrak enam tahun.
“Namun, robot peguam Luminance menyedari ia bercanggah dengan dasar syarikat dan secara automatik mengubahnya kepada tempoh tiga tahun,” jelas laporan itu.
Ketua Staf di Luminance, Jaeger Glucina berpandangan bahawa teknologi AI itu tidak bertujuan menggantikan kerjaya peguam tetapi sebaliknya menyokong golongan berkenaan untuk bekerja dengan lebih baik.
Sumber: Utusan Malaysia