RM692,500 Lesap Begitu Sahaja, Ditelan ‘Scammer’ Selepas Angkat Telefon

0
257
Foto: Kosmo

KOTA BHARU – Seorang peniaga kerugian sebanyak RM692,500 apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH) miliknya lesap selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada MCMC pada 28 Januari lalu yang memaklumkan bahawa dia terlibat dalam penipuan wang haram.

Menurutnya, mangsa diarah untuk berhubung dengan lelaki dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar sebelum dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Talian kemudian disambungkan kepada pegawai polis iaitu Asisten Komisioner Ismail sebelum mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa mengisi maklumat diri termasuk dua akaun bank miliknya. Pada 30 Januari lalu, lelaki itu memindahkan wang RM300,000 daripada akaun ASB ke salah satu akaun banknya.

“Mangsa kemudiannya pergi ke Tabung Haji untuk memindahkan wang RM400,000 ke dua akaun banknya pada 4 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, dua hari kemudian, sindiket itu membuat pemindahan wang mangsa ke akaun sebuah bank atas nama Go Tian Tian dan Izzu 2023 Enterprise secara berperingkat.

Menurutnya, lelaki itu membuat semakan terhadap akaun bank miliknya dan mendapati ia telah lesap sebelum menyekat semua akaun tersebut. Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM692,500.. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here