“Selagi awak tidak menghubungi saya, sikit-sikit saya akan bagi pembayang (clue),” ujarnya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Rita dalam InstaStory miliknya, pelakon berusia 47 tahun itu meluahkan rasa kesal dengan menyelar sikap guru tersebut sebagai ‘toksik’, suka mengumpat dan bercakap buruk tentang anak dan dirinya dalam kalangan guru lain di sekolah.
“Dengar-dengar cikgu (guru) ini selalu membawang (mengumpat) pasal anak saya. Hati busuk sangat dengan saya kenapa?
“Saya tidak pernah kenal, tidak pernah sembang atau bersua muka dengan cikgu, tetapi lagak cikgu macam terpaling tahu cerita ‘dalam kain’ saya. Pengalaman pertama saya dalam hidup sekolahkan anak-anak jumpa cikgu yang keji,” tulis Rita.
Dalam hantara berbeza, pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar itu memohon maaf apabila terpaksa mendedahkan nama sekolah yang menjadi tempat guru tersebut mengajar (bekas sekolah anaknya) kerana terpaksa dan sebagai pengajaran untuk guru-guru lain mengambil iktibar.
Malah, pelakon Mami Jarum itu percaya anaknya bukan satu-satunya murid yang menjadi ‘mangsa’ umpatan guru terbabit apabila difitnah dan menjadi bahan umpatan di sekolah.
“Saya terpaksa sebut nama sekolah. Takkan saya nak sebut nama sekolah lain pula. Harap perkara ini jadi pengajaran. Saya tahu, bukan saya seorang sahaja begini.
“Ada murid dan ibu bapa lain (turut menjadi bahan umpatan), cuma mereka takut untuk bersuara kerana bimbang anak mereka akan ‘diserang’.
“Tapi saya kena tegur sebab fitnah itu sangat berat untuk kami,” luahnya.
Dalam hantaran berbeza, Rita turut meluahkan rasa kesal dengan sikap guru terbabit apabila suka menyebarkan fitnah dan mengumpat orang lain, kerana menganggap pekerjaan sebagai pendidik merupakan tugas mulia.
Lebih membuatkan Rita kesal apabila guru tersebut digambarkan memiliki personaliti yang baik kerana cantik dan menutup aurat, namun sikapnya tidak sepadan dengan sifatnya sebagai seorang guru.
“Mana maruah awak sebagai pendidik? Pakai tudung tapi hati busuk. Mengajar di tempat mulia tapi kaki mengumpat dan fitnah.
“Awak tutup aurat, tapi awak lupa nak tutup mulut. Tuhan sebenarnya sayang pada cikgu dan tidak mahu cikgu rancak memfitnah dan mengumpat.
“Dia nak cikgu sedar dan kembali pada fitrah. Cantik, dah tutup aurat, mengajar di sekolah yang bagus. Betul tak begitu?” luahnya kesal.
Beberapa hari lalu, Rita ‘naik hantu’ apabila meluahkan rasa kesal apabila dituduh merampas hak golongan kurang berkemampuan atau B40 dengan menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang ditanggung kerajaan.
Lebih membuatkan pelakon itu berang apabila tuduhan berbaur fitnah itu datang daripada individu bergelar guru.
“Dahulu, guru ini umpama lilin yang berkorban apa sahaja untuk memastikan murid-muridnya mendapatkan ilmu.
“Sekarang, ada segelintir guru umpama racun, asid dan toksik. Lebih suka mengumpat dan memfitnah pelajar serta ibu bapa daripada mengajar.
“Tahu-tahu hujung bulan cucuk duit di mesin pengeluaran wang. Sangat jijik!” katanya dalam InstaStory hari ini.
Tambah Rita, perkara tersebut dilalui anaknya selepas bertukar daripada sekolah swasta ke sekolah kerajaan.
Sumber: Kosmo