PETALING JAYA – Acara Rock Warrior Music Festival yang sepatutnya berlangsung di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 November ini terpaksa ditunda ke Mei 2025.
Keputusan itu dibuat penganjur, Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. selepas mengambil kira ramalan cuaca yang berkemungkinan akan berlaku hujan lebat dan risiko banjir di kawasan tersebut.
Selaku penganjur, Datuk Eddy Amir Salim berkata, pihaknya mengutamakan keselamatan penonton dan kelancaran acara selain mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
“Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.
“Ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan lebat dan risiko banjir di tapak konsert dan beberapa negeri lain di Malaysia.
“Sebagai penganjur, keselamatan para peminat dan kelancaran festival menjadi keutamaan kami. Sensitiviti terhadap masyarakat juga harus diambil kira khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, penjadualan semula tarikh persembahan dapat memberi peluang untuk pihaknya membuat persediaan secara menyeluruh.
“Persediaan yang dibuat diharapkan dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang sesuai.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta pertimbangan yang diberikan.
“Semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu dan kami akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial kami,” katanya.
Rock Warrior Music Festival akan menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC yang akan mempersembahkan lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga kini.
Sumber – KOSMO! ONLINE