Kumpulan KRU, nama besar dalam industri muzik tempatan yang telah mengumumkan album terbaru mereka berjudul “Kaset” pada bulan lalu, kini melancarkan single pertama dan video muzik dari album tersebut berjudul “Voodoo” khas buat para peminat muzik serantau.
Mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka, lagu ini yang mengekalkan DNA muzik asal KRU bergenre Pop Dance, Hip Hop dan R&B. “Voodoo”, lagu ciptaan Norman, Yusry dan Edry menonjolkan kematangan persembahan vokal KRU, sofistikasi KRU dalam penciptaaan lagu serta kecanggihan dalam penerbitan muzik. Lagu “Voodoo” mengisahkan keterujaan, kekeliruan dan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan mempersona seseorang wanita yang luar biasa.
Menariknya, video muzik “Voodoo” menggambarkan “prequel” fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry ke era awal 90an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992. Lebih istimewa, KRU menjadi artis tempatan pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik, memperlihatkan inovasi dan kreativiti yang terus menjadi identiti KRU sebagai trendsetter dalam industri hiburan tanahair.
“Voodoo amat istimewa bagi kami bukan saja sebagai lagu baru selepas 6 tahun bertapa, ianya juga membuka lembaran baru industri muzik tempatan bagi penerbitan video muzik sejajar dengan perkembangan teknologi AI. Semoga lagu ini mendapat tempat di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi salah satu tarikan untuk peminat membuat “reunion” bersama kami di konsert “Kaset” pada tahun akan datang,” ujar KRU menutup bicara.
Lagu Voodoo kini berada di kesemua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran YouTube krubros tidak lama lagi. Untuk maklumat lanjut mengenai KRU, sila layari dan like akaun Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube KRU.