Reman Empat Suspek Pecah Rumah Kieda Crepe Disambung Sehingga 14 Jun

0
32
Foto: Berita Harian

Kepala Batas: Reman terhadap empat individu termasuk dua wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk dan melarikan barang kemas dari rumah pempengaruh Siti Nur Khalieda Yusra atau Kieda Crepe disambung tiga hari lagi hingga 14 Jun ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, mereka terdiri daripada dua pasangan suami isteri berusia 20 hingga 27 tahun itu sebelum ini direman bermula 6 Jun lalu dan tamat hari ini.

“Polis menyambung reman keempat-empat suspek itu selama tiga hari lagi bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut kes terbabit termasuk mengesan (baki) barangan kemas milik mangsa.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, mereka hanya terlibat dalam satu kes pecah rumah di kediaman pempengaruh itu yang berlaku pada 25 April lepas dan polis merampas semula barangan kemas bernilai RM40,000 daripada suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes pecah rumah wanita terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman pempengaruh yang juga usahawan pencuci mulut di Pokok Sena, di sini, dipecah masuk perompak yang melarikan barang kemas dan sejumlah wang tunai.

Siti Nur Khalieda berkongsikan perkara itu menerusi video yang dimuat naik dalam akaun TikTok pada 3 Jun lalu.

Beliau mendakwa kerugian RM800,000 selepas pelbagai barang kemas yang disimpan di dalam peti besi dilarikan perompak yang memasuki kediamannya melalui tingkap.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here