TAMPIN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik kandung perempuannya di Gemas, Februari lalu.
Dia membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa didapati merogol adik kandung perempuan berusia 14 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada kira-kira jam 4 petang, 6 Februari lalu di sebuah rumah di Gemas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun, selain sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu atau bapa tertuduh sahaja.
Mahkamah menetapkan 27 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
Dalam kamar sama, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja perempuan sebaya di sebuah rumah di Gemas pada jam 9 pagi, 16 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya sama, manakala tertuduh diwakili peguam Roseli Abdul Gani.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu atau bapa tertuduh dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan semula kes.
Sumber: Berita Harian