Remaja 17 Tahun Hilang Selepas Dihantar Ibu Ke Sekolah

0
141

KLUANG – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, remaja perempuan berusia 17 tahun itu, J. Nisha disedari kehilangannya ketika ibunya, A. Erisha Mah, 42, mahu menjemputnya pulang selepas sesi persekolahan tamat kira-kira pukul 2.30 petang.

Katanya, menurut laporan ibu, remaja perempuan berkenaan dipercayai tidak masuk ke dalam sekolahnya selepas dihantar pukul 6.30 pagi.

“Ibu remaja perempuan berkenaan percaya anaknya keluar semula dari kawasan sekolah setelah dia beredar kerana ketika menjemputnya pada 2.30 petang semalam, remaja berkenaan tiada dalam kawasan sekolah.

“Ibunya juga membuat semakan kepada guru kelas namun dimaklumkan remaja itu tidak masuk ke kelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata, siasatan mendapati tiada sebarang masalah dan perselisihan faham dalam keluarga yang berlaku sebelum mangsa hilang.

“Mangsa tidak pernah keluar rumah dan tidak pernah mendatangkan masalah dalam keluarga,” katanya.

Ujarnya, semasa kejadian, mangsa memakai baju kurung putih, kain biru muda, kasut sekolah dan beg sekolah warna hitam.

“Keluarga tidak pasti mangsa pergi mana dan dengan siapa. Tiada saksi yang melihat kejadian mangsa keluar dari sekolah. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang (KEP OH),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here