MAJLIS Sukan Negara (MSN) meluluskan 33 pemain sepak takraw terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita untuk dimasukkan ke Program Podium bagi menghadapi saingan 2025 yang akan bermula tidak lama lagi.
Tiga pemain yang memenangi pingat emas dalam acara regu lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 iaitu Mohammad Syahir Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam turut dikekalkan.
Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abidullah Salleh berkata, 33 pemain yang dimasukkan ke Program Podium akan melakukan persiapan bagi menghadapi beberapa kejohanan penting tahun depan.
Antara kejohanan tersebut adalah Sukan SEA Thailand 2025, Piala Asia 2025, Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 serta persediaan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Sesi pemilihan dan pemantauan telah dinilai oleh barisan kejurulatihan sepak takraw kebangsaan berdasarkan prestasi pemain semasa Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2024, Liga Sepak Takraw (STL) 2024 dan Piala Tun Ali 2024 bagi skuad lelaki.
“Skuad wanita dipilih pada SUKMA 2024, Piala Tun Ali 2024 serta sesi pemilihan diadakan pada 9 hingga 13 Disember lalu di MSN Bukit Jalil. Semua pemain akan melaporkan diri pada 2 Januari 2025 bagi mengikuti Program Podium,” katanya.
Selain regu lelaki yang memenangi pingat emas Piala Dunia 2024, turut dikekalkan adalah gandingan acara double, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin apabila mereka juga meraih emas pada kejohanan tersebut.
Sebagai rekod, senarai nama itu diluluskan MSN pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan bersidang semalam.
Sumber – Kosmo! Online