Cuba Rasuah Polis RM100, Pekebun Didenda RM10,000

0
39
Foto: Berita Harian

Tawau: Seorang pekebun didenda RM10,000 dan dihukum penjara dua hari oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini, atas kesalahan merasuah anggota keselamatan bertugas di pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) di Jalan Kalabakan, Mac tahun lalu.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu ke atas Buba Pangewa, 67, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memberi suapan RM100 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal ketika bertugas di RCP Kalabakan pada 13 Mac tahun lalu.

Suapan itu dibuat sebagai dorongan supaya melepaskan seorang lelaki warga Indonesia, Yohanis Pappang yang memiliki paspot tamat tempoh.

Atas kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika ditahan untuk pemeriksaan telah menyatakan kepada Koperal Samsul Wahab bahawa wang dalam plastik tersebut adalah untuk membeli rokok dan untuk tujuan melepaskan tertuduh bersama Yohanis bagi meneruskan perjalanan ke Keningau untuk menguruskan pasport yang tamat tempoh.

Walaupun diberikan amaran berkali-kali, tertuduh tidak mengendahkannya sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai tukang kebun selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tertuduh didenda RM10,000 dan dipenjara dua hari berkuat kuasa dari tarikh sabitan selain tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here