PILIHANRAYA Raya Serentak (PILKADA) 2024 di Indonesia menjadi tumpuan apabila beberapa selebriti terkenal negara itu menawarkan diri bertanding untuk jawatan Wakil Gabenor, Bupati, Wakil Bupati, Wali Kota dan Wakil Wali Kota.
Antara nama yang mendapat perhatian ialah aktor Rano Karno, penyanyi Krisdayanti dan pelawak Ronal Surapradja yang membawa pengalaman serta populariti masing-masing ke arena politik.
Rano Karno bertanding sebagai calon Wakil Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta bersama Pramono Anung yang mencalonkan diri sebagai Gabenor.
Rano yang pernah memegang jawatan sebagai Wakil Gabenor Banten (2012-2014) dan Gabenor Banten (2015-2017), berharap pengalamannya mampu menarik sokongan pengundi.
Sementara itu, penyanyi terkenal Krisdayanti yang kini merupakan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia sejak 2019, bertanding kerusi Wali Kota Batu di bawah Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDIP).
Pelantun lagu Menghitung Hari itu berhasrat membangunkan kampung halamannya bersama pasangan tercinta, Kresna Dewanata Phrosakh sebagai calon Wali Kota.
Selain itu, pelawak Ronal Surapradja pula mencuba nasib sebagai calon Wakil Gabenor Jawa Barat bergandingan dengan Jeje Wiradinata, Bupati Pangandaran selama dua penggal.
Enggan melepaskan peluang, penyanyi Gitalis Dwi Natarina atau Gita KDI turut berentap bagi jawatan sama sekali gus menjadikan persaingan di wilayah itu semakin sengit.
PILKADA 2024 akan menyaksikan seramai 207.1 juta pengundi menentukan kepimpinan di 545 kawasan yang meliputi 37 wilayah, 415 daerah dan 93 bandar.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), terdapat lebih 435,296 pusat pengundian di seluruh negara bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dengan jumlah pengundi lelaki (103.2 juta) dan wanita (103.9 juta) hampir seimbang.
Pilihan raya itu bukan sahaja mencerminkan demokrasi yang matang di Indonesia tetapi juga menunjukkan keterlibatan artis dan selebriti dalam usaha membangunkan negara melalui politik.
Sumber – KOSMO! ONLINE