PETALING JAYA: Tindakan seorang murid perempuan memakai pakaian seragam pemandu peribadi ketika sambutan Hari Kanak-Kanak menyentuh hati ramai pengguna media sosial apabila bangga dengan kerjaya bapanya.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik bapanya, anaknya memilih untuk memakai pakaian seragam pemandu kereta kerana mengikut tema kerjaya yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Murid perempuan itu meluahkan perasaan bangga terhadap pekerjaan bapanya ketika sedang membuat ucapan di hadapan rakan sekelas.
“Sebenarnya saya pakai seragam ini sebab saya bangga dengan ayah saya,” jelasnya.
Rakaman video yang berdurasi seminit 43 saat itu menunjukkan murid tersebut terperanjat melihat kehadiran bapanya yang membuat kejutan kepadanya sebelum berlari dan memeluk lelaki itu.
“Terima kasih kakak berbangga dengan babah. Babah cuma menumpang rezeki kakak. Babah masih ingat waktu ummi mengandungkan kakaklah, babah dapat kerja ni.
“Terima kasih sayang. Babah sayang kakak dan adik dunia akhirat. Terima kasih pihak sekolah yang beri saya peluang untuk beri kejutan buat anak di Hari Kanak-Kanak bertemakan kerjaya,” tulis bapanya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet tersentuh dengan tindakan murid itu dan meluahkan rasa bangga terhadap sikapnya yang tidak segan dengan status pekerjaan bapanya.
“Saya tumpang bangga. Tahniah abang dapat mendidik anak abang dengan baik,” komen @iamteha_252.
“Didikan yang bagus dari mak ayah. Anak faham erti pengorbanan ibu dan ayahnya. Tahniah,” tulis @chaqabg
Video berkenaan telah tular di aplikasi TikTok dan menerima tontonan sebanyak 735,400, 2,515 komen dan 57,600 tanda suka.
Sumber: Utusan Malaysia