PETALING JAYA: Mencetuskan sensasi selepas video kolaborasinya dengan pereka, FiziWoo tular, pelakon, Ruhainies mengakui sedikit tertekan apabila menerima pertanyaan tentang perkahwinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ruhainies, 31, berkata, dia belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat apatah lagi, calon suaminya juga belum ada selepas dia mendedahkan masih solo.
“Bila video itu mencetuskan tanda tanya, betul ke saya akan kahwin, ramai pula tanya bila dan siapa. Sebenarnya itu satu kolaborasi untuk koleksi perkahwinan pereka sohor itu. Bukan saya mahu kahwin pun.
“Tapi bila kerap kali diasak soalan sama, memang sedikit tertekan. Bukan tak mahu kahwin, tetapi calonnya pun belum ada. Rakan-rakan seusia saya pun sudah ramai berkahwin, tetapi jodoh belum sampai kan.
“Ramai yang mendekati dan saya ini pun jenis selesa berkawan dengan sesiapa sahaja. Tetapi kalau yang betul-betul dekat di hati itu belum ada lagi yang sesuai,” kongsi pelakon Hello Mr. Perfect itu.
Sementara itu, menjawab dakwaan segelintir pihak yang melabel dia sebagai ratu gimik selepas beberapa kali ‘mengusik’ netizen dengan hantaran berkaitan perkahwinan, Ruhainies menjawab;
“Kolaborasi dengan FiziWoo bukan gimik pun. Video itu adalah reaksi sebenar ketika saya pertama kali melihat koleksi perkahwinan yang berinspirasi fesyen dan gaya saya sendiri. Terharu sangat.
“Tetapi tak pernah pun kami merancang untuk buat gimik atau sengaja prank warganet,” kongsinya.
Sumber: Utusan Malaysia