PETALING JAYA – Pengguna media sosial hari ini sibuk membincangkan isu pemberian hadiah buat pengantin baharu dan rata-ratanya bersetuju memberi wang tunai lebih baik berbanding barangan elektrik.
Menurut pengguna Facebook, Fatin Hanani berkata, pemberian hadiah dalam bantuk wang tunai lebih diperlukan oleh pengantin baharu untuk mereka memulakan kehidupan.
“Duit dah banyak habis buat kenduri kahwin. Jadinya, kalau tetamu hadir beri hadiah dalam bentuk wang tunai rasanya lebih membantu kehidupan pengantin baharu,” katanya.
Sementara itu pengguna lain, Asyrik berpendapat bahawa, kebanyakan pasangan baharu ini tidak memerlukan barangan elektrik yang banyak disebabkan mereka hidup berdua dan dalam fasa belajar untuk menguruskan rumah tangga.
“Cukup pengantin tu beli barang elektrik asas dalam rumah. Pengalaman aku sendiri, dan dekat tiga tahun kahwin, belum guna lagi hadiah kahwin dapat oven (ketuhar), pressure cooker (periuk tekanan), periuk nasi pun ada dua lagi dalam stor.
“Sebab itu bagi aku lebih sesuai beri hadiah duit. Tahu la pengantin tu nanti beli apa yang mereka perlu supaya tidak membazir,” cadangnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Mak Wateh berkata, antara keburukan memberi hadiah barangan elektrik kepada pengantin baharu adalah sukar untuk membuat tuntutan waranti sekiranya produk tersebut rosak.
“Ramai yang bagi hadiah barang elektrik tak kepilkan sekali buku atau borang waranti. Bila barang rosak jadi sia-sia kena buang sebab tak boleh nak baiki atau tukar. Satu lagi, kebanyakan hadiah barang elektrik ini mesti satu jenis akan dapat dua hingga tiga barang.
“Nampak membazir pula terbiar tak guna, penuh rumah sahaja. Bagi hadiah duit RM10 pun cukup kalau tak mampu beri lebih, rasanya lebih sesuai untuk zaman sekarang ini,” katanya.
Perbincangan isu tersebut mendapat penyertaan lebih 300 komen di platform Facebook selepas pemilik akaun Hamidin bertanya, “Hadiah apa lebih sesuai bagi pengantin baharu?” menerusi status terbaharunya. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo