KUALA LUMPUR, 12 Disember- Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Manila, Filipina dilaporkan telah diculik sebelum dibunuh oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali pada 22 Oktober lepas.
Terdahulu, kumpulan penculik tersebut meminta wang tebusan sebanyak RM330,000 daripada keluarganya yang dibayar melalui aplikasi cryptowallet USDT.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun berkata pada 23 Oktober, pihak berkuasa Filipina menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa di San Simon, Pampanga.
“Laporan itu menyatakan deskripsi fizikal dan tatu yang terdapat pada mayat berkenaan adalah sama dengan deskripsi fizikal serta tatu mangsa penculikan.
“JSJK kemudiannya telah menerima permohonan pada 9 November lepas daripada Pejabat Atase Polis Malawakil Manila untuk membantu analisis terhadap aliran transaksi ke dalam dompet kripto milik seorang suspek dalam kes ini.
“Analisis yang dijalankan telah berjaya mengesan aliran transaksi mata wang kripto itu yang dipindahkan ke satu daripada exchange yang tidak didaftarkan di Malaysia.
Jelas Ramli, hasil maklumat diterima daripada ‘exchange’ itu kemudiannya mendedahkan identiti enam suspek warga asing dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes penculikan dan pembunuhan berkenaan.
“Semua maklumat itu diserahkan kepada Pejabat Atase Polis Malawakil Manila untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ramli turut memaklumkan sebanyak 10 laporan polis diterima berkaitan pelaburan forex membabitkan nilai kerugian RM4.7 juta sejak 1 Novembver lepas dan siasatan awal mendapati laman sesawang yang mengendalikan pelaburan tersebut dipercayai beroperasi di luar negara.