Rakyat Malaysia Berkumpul Depan Kedutaan AS, Pertahankan Bumi Palestin

0
88
Foto: Kosmo

Kuala Lumpur: Kira-kira 1,000 orang menghadiri Perhimpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini, tadi.

Perhimpunan aman itu disertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) dan warga kota selepas solat Jumaat.

Pada perhimpunan itu, pengerusi PPSM, Yusuf Azmi turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap sokongan Amerika Syarikat kepada Israel kepada wakil kedutaan.

Yusuf Azmi, berkata, pihaknya yang mendukung kedamaian, keadilan dan keharmonian menentang sekeras-kerasnya penindasan dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

“Kami membantah dan menentang tindakan kerajaan Amerika Syarikat yang selama ini menggelarkan diri mereka penegak keadilan dunia.

“Namun memberi sokongan terhadap Israel yang terus menerus melakukan penindasan dan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin adalah tidak masuk akal,” katanya.

Dalam memorandum diserahkan itu, pihak PPSM menyenaraikan lapan kekejaman dilakukan rejim Zionis di bumi Gaza.

“Antara kezaliman dilakukan rejim Zionis adalah menutup sumber bekalan makanan, penggunaan senjata fosforus putih terhadap orang awam Gaza dan banyak lagi kekejaman,” katanya.

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin, Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Mukhriz Mahathir dan aktivis politik, Chua Tian Chang.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here