Rakyat Boleh Sertai Lambaian Kasih Buat Agong Esok

0
196

Kuala Lumpur: Rakyat boleh menyertai acara Lambaian Kasih sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, orang ramai yang hadir diminta meletakkan kenderaan sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukit Aman dan parkir di Dataran Merdeka.

“Orang awam yang ingin bersama-sama ke acara berkenaan perlu mematuhi arahan kawalan lalu lintas oleh pihak polis dan tidak menghalang laluan.

“Seramai 91 anggota polis akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi perancangan dari aspek kawalan lalu lintas dan keselamatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumput, hari ini.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, tujuh laluan di sekitar ibu negara akan dibuat penutupan penuh, manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat esok.

Menurutnya, laluan di Jalan Parlimen sehingga ke Bulatan Dato Onn akan ditutup sepenuhnya seawal 6 pagi.

“Bagi tujuh laluan lain, ia akan ditutup sepenuhnya bermula 9 pagi dan akan dibuka secara berperingkat. Laluan ditutup ialah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.

“Turut ditutup, Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Salahudin ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke Bulatan Dato’ Onn dan Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn,” katanya.

Katanya, jalan yang terbabit dengan penutupan sementara bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke Jalan Damansara, Jalan Travers ke Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara) dan Jalan Sultan Hishamuddin ke Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin).

Laluan lain ialah Jalan Tun Sambathan ke Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke Lebuhraya KL-Seremban, Lingkaran Tengah/Jalan Connaught dari Lebuhraya Syed Putra.

“Selain itu, Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dari Pantai Dalam, Lebuhraya Maju dari Plaza Tol Salak Selatan, Lebuhraya KESAS dari Sungai Besi, Lebuhraya KESAS dari Lebuhraya KL/Seremban dan Persimpangan SUKOM ke Lebuhraya KESAS,” katanya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here