Pura-Pura Beli Air Kelapa, 3 Mat Motor Ragut Rantai Emas Peniaga Di Bukit Mertajam

0
56
Foto: Sinar Harian

BUKIT MERTAJAM – Polis giat memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian kes ragut rantai leher milik seorang peniaga air kelapa yang berlaku di Taman Impian Alma dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, tiga suspek yang menaiki dua buah motosikal menghampiri gerai milik mangsa kononnya ingin membeli air kelapa.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka turun dari motosikal dan menghampiri lelaki berusia 40-an itu sebelum bertindak meragut rantai leher miliknya.

“Ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri menggunakan motosikal walaupun dikejar mangsa.

“Hasil semakan nombor pendaftaran motosikal suspek mendapati mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sejak Khamis tular video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) memaparkan perbuatan tiga lelaki bermotosikal yang berhenti di belakang sebuah kereta berhampiran gerai air kelapa berkenaan sebelum meragut rantai mangsa.

Dalam video berdurasi 60 saat itu juga menunjukkan aksi mangsa mengejar suspek, namun ketiga-tiga lelaki terbabit berjaya meloloskan diri dengan menaiki motosikal.

Sementara itu, Helmi berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Marsila Hamzahdi di talian 04-5382222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here