PENGELUAR kereta nasional, Proton mengembangkan perkhidmatannya dengan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap Proton di  fasiliti pengeluarannya di Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu memasang cermin gelap sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu di Tanjong Malim itu adalah satu langkah penting bagi Proton.
“Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan fikiran kepada pelanggan.
“Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard,” katanya.
Pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 apabila ia dilancarkan pada 7 Mei 2023.
Sumber: Harian Metro