Produk Kosmetik, Ubat Tak Berdaftar Bernilai Hampir 1 Juta Dirampas

0
51
Foto: Sinar Harian

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) negeri merampas 116 ubat tidak berdaftar dan 49 kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara dalam talian.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, kesemua barangan itu dijumpai selepas pemeriksaan dilakukan ke atas tiga premis kediaman dan satu kenderaan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, empat peranti digital yang digunakan bagi tujuan jualan secara dalam talian turut dijumpai susulan aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan ubatan yang disyaki tidak berdaftar.

“Kita telah merampas ubat-ubatan tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan peranti digital. Kesemua nilai rampasan itu dianggarkan hampir RM1juta.

“Aktiviti ini kita bongkar hasil risikan CPF Pahang selama enam bulan. Pengeluar (bahan ini) daripada negara China, jadi kita tidak tahu dan kesan siapa yang terlibat kerana ia menerusi platform e-dagang, tapi ia mungkin dilakukan oleh orang tengah sebagai pembekal,” katanya.

Rusdi (tengah) menunjukkan produk ubatan tidak berdaftar yang dijual secara dalam talian di bilik mesyuarat di Pejabat JKNP di Indera Mahkota pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar rampasan produk tidak berdaftar dijual secara dalam talian di bilik mesyuarat di Pejabat JKNP di Indera Mahkota pada Selasa.

Hadir sama,Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan dan Operasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Azaruddin Azis, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah, Ketua CPF Pahang, Kamaruzzaman Othman dan Ketua Seksyen Perisikan dan Operasi CPF Pahang, Muhammad Nasyaruddin Abd Manaf.

Rampasan terbabit dilakukan dalam satu operasi dinamakan Operasi LHT yang diketuai CPF Pahang dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), CPF Selangor, CPF Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Polis Diraja Malaysia.

Dr Rusdi memberitahu, kebanyakan ubat yang dijual secara dalam talian mempunyai steroid, sedangkan ubat tersebut adalah terkawal dan hanya dikeluarkan dengan persetujuan daripada doktor sahaja.

Katanya, ubat seperti steroid ini boleh memberi kesan sampingan yang amat ketara sekiranya dimakan secara tidak terkawal kerana ia boleh merosakkan buah pinggang dan tulang serta amat berbahaya.

Beliau menambah antara jenis ubatan yang dijual termasuklah ubat antibiotik untuk penyakit kulit selain ubat makan untuk masalah sakit sendi dan tenaga batin.

“Kesemua ubat ini dijual secara dalam talian pada harga yang rendah,” katanya.

Menurut Rusdi tindakan mahkamah akan diambil ke atas suspek di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegasnya.

Justeru, katanya, operasi LHT itu sekali gus membuktikan bahawa JKNP memberi perhatian yang serius isu penjualan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara dalam talian.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimonial di laman sesawang terutama yang membuat tuntutan perubatan yang tidak munasabah.

“Orang ramai diingatkan supaya memastikan produk ubat-ubatan mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) serta memastikan kosmetik adalah bernotifikasi sebelum membeli produk-produk berkenaan.

“Status pendaftaran ubat dan notifikasi kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product / Cosmetic Status” dan ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery,” katanya.

Beliau pada masa sama menggalakkan orang ramai untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan ubat-ubatan dan kosmetik yang meragukan menggunakan platform SOBAT melalui pautan https://beacons.ai/pfpahang.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here