PRK KKB: Berkerusi Roda Bukan Penghalang Keluar Mengundi

0
67
Foto: Berita Harian

Kuala Kubu Bharu: Keadaan fizikal bukan prasyarat untuk keluar mengundi dan atas semangat itu, seorang warga emas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu di sini, kekal bersemangat menunaikan kewajipannya.

Rosli Sarif, 75, yang berkerusi roda sejak beberapa tahun lalu, susulan masalah kesihatan, tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya biarpun perlu ke pusat mengundi yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, secara bersendirian.

“Tanggungjawab ini saya tunaikan sejak muda. Walaupun ada sakit-sakit sendi dan sudah tak kuat lagi, saya tetap mahu keluar mengundi hari ini.

“Semua pihak perlu menggunakan platform ini untuk mengembalikan kestabilan yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu.

“Saya nasihatkan pengundi muda supaya berfikir sebaiknya sebelum mengundi. Pilih wakil rakyat dengan betul kerana ini untuk masa depan, bukannya ketika ini sahaja, jadi jangan pentingkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Batang Kali di sini, hari ini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Kubu Baharu hari ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Sebelum ini, SPR dilapor memaklumkan seramai 760 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK Dun Kuala Kubu Bharu, manakala 18 pusat mengundi biasa, membabitkan 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal (tiga tempat mengundi atau saluran awal) akan digunakan.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya akan digunakan untuk PRK Dun Kuala Kubu Bharu adalah daftar pemilih terkini hingga Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 yang dikemas kini sehingga 25 Mac lalu.

Ia membabitkan 40,226 orang pemilih, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Sementara itu, Rosli menyifatkan proses pengundian yang berjalan secara lancar di pusat berkenaan sebagai tanda sokongan kepada sistem demokrasi demi menjaga kepentingan negara.

“Saya rasa sudah mengundi antara 10 hingga 20 kali, sejak berusia 21 tahun. Tujuan saya pilih (mengundi) awal pagi sebab senang, tenang dan senang nak jadi pengundi pertama,” katanya

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here