Sunday, May 19, 2024
HomeBERITAPolis Tumpu Siasatan Kes Zayn Rayyan Di Blok R, Apartment Idaman

Polis Tumpu Siasatan Kes Zayn Rayyan Di Blok R, Apartment Idaman

PETALING JAYA – Polis menerusi Unit Forensik akan terus melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) melibatkan penduduk di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Menurut Kosmo, saringan beramai-ramai itu kini tertumpu di Blok R kejiranan berkenaan termasuk akan memanggil semula individu yang tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata, penduduk yang tinggal di apartmen itu masih dibenarkan melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Jika kita lakukan pemeriksaaan dan mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan, kita akan tunggu.

“Kita akan panggil mereka untuk mass DNA screening (ujian DNA beramai-ramai),” katanya.

Beliau sebelum ini memaklumkan, jumlah keseluruhan DNA yang telah diambil adalah 228 sampel dengan keputusan ujian itu dijangka diketahui hari ini atau esok.

Terdahulu, hasil pemeriksaan pasukan forensik selama dua jam di setiap rumah di Blok R Apartmen Idaman malam kelmarin mendapati terdapat dua kotak telah dibawa keluar.

Berdasarkan laporan Kosmo, kotak berkenaan dipercayai berisi bahan bukti yang diambil dari Blok R bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang mayatnya sebelum ini ditemui di sebatang anak sungai tidak jauh dari apartmen ber­kenaan.

Berdasarkan tinjauan Kosmo, lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor me­lakukan pemeriksaan bermula pukul 8.40 malam tadi dan berakhir kira-kira 10.30 malam.

Mengulas lanjut, Hussien mengesahkan pihaknya telah mengesan beberapa barangan serta objek berpotensi yang mampu membantu kes pembunuhan tersebut.

Katanya, barangan dan objek terbabit ditemui hasil daripada pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua yang dilaksanakan di Blok R Apartmen Idaman.

“Bagaimanapun, analisis perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang diperoleh.

“Setakat ini, tiada perkemba­ngan positif dalam usaha menjejak suspek,” katanya.

Dalam pada, beliau memaklumkan, tiga penagih dadah yang ditahan semasa ujian DNA beramai-ramai pada Ahad lalu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan membabitkan kes pembunuhan berkenaan.

“Kebetulan ketika kami me­lakukan mass DNA screening itu, mereka positif dadah. Jadi, kita tahan untuk tindakan lanjut.

“Mereka bertiga tidak mempunyai kaitan dengan siasatan ini (kes pembunuhan Zayn Rayyan),” jelasnya.

Terdahulu, Zayn Rayyan ditemui mati di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Hasil bedah siasatan kemudian mendapati kanak-kanak itu mati akibat dibunuh dengan terdapat kesan kecederaan terma­suk di bahagian leher.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Resit Pesanan Pizza Pelanggan Hina Islam, Polis Buka Kertas Siasatan

0
BAYAN LEPAS: Lapan individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes resit tempahan makanan segera dalam talian yang mempunyai ayat didakwa menghina Islam. Ketua Polis Daerah...

CATEGORIES