Polis Tahan Warga Indonesia, Dalang Sindiket Pengedaran Dadah Di Ibu Negara

0
109
Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR, 21 November- Polis Kuala Lumpur mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki dalang sindiket pengedaran dadah bersama lima warga tempatan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, Jumaat lepas.

Ketua Polis KL Datuk Allaudeen Abdul Majid menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan, kesemua suspek berusia 26 hingga 46 tahun itu ditahan di kawasan lobi dan rumah di kondominium terbabit pada 7.20 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Warga Indonesia itu berperanan sebagai ketua manakala lima yang lain adalah ahli sindiket.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak dua bulan lepas sekitar Kuala Lumpur dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima.

“Polis merampas sebanyak 10 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM341,000 dipercayai boleh menampung kegunaan lebih daripada 20,000 penagih.

“Turut dirampas, tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Toyota Vios dan Perodua Alza yang masing-masing bernilai RM175,000, RM40,000 dan RM75,000,” katanya.

Jelas Allaudeen, sementara itu lima warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah serta tiga daripadanya merupakan individu dikehendaki polis berkaitan narkotik dan jenayah.

Beliau berkata kesemuanya yang positif dadah jenis methamphetamine direman hingga 24 November ini.

Katanya, JSJN IPK KL masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah yang diperolehi sindiket.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here