KUALA LUMPUR, 7 Disember- Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang menyokong supaya Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Lelaki berusia 36 tahun itu direman sejak semalam selama dua hari sehingga esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi satu kenyataan memaklumkan lelaki itu disyaki membuat kenyataan berkenaan dalam satu temu bual bersama pempengaruh media sosial Israel bernama Hananya Naftali yang telah dimuat naik dalam laman TikTok sebuah portal media tempatan.
“Siasatan kes ini telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/ Pendakwaan (D5) JSJ bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Memandangkan kes itu masih dalam siasatan, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi mengenainya, selain menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Baru-baru ini tular video memaparkan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia, menerusi satu temu bual dalam talian dengan pempengaruh Israel Hananya Naftali, disyaki berkata Malaysia dengan Israel perlu ada hubungan diplomatik selain meminta agar kedutaan Israel dibuka di negara ini.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi malah individu berkenaan turut dikecaman netizen.