Polis Tahan Dua Lelaki Ambil Upah Khianat Api, Baling Cat

0
54
Foto: FMT

IPOH, 28 November- Polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar bandar raya Ipoh dengan penahanan dua orang suspek lelaki di Taman Badrishah, Lahat Ipoh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek berusia 27 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Besar Chemor, pada kira-kira 6.30 petang.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan kerja khianat itu selepas melihat iklan di Facebook bagi mendapat upah dan tidak mengenali individu yang mengupah mereka, malah hanya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mereka mengaku mula buat kerja itu sejak awal bulan ini, tetapi kami percaya mereka bukan baru melakukan kerja ini dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Yahaya berkata semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai 13 dan 20 rekod jenayah dan narkotik.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here