Polis Siasat Dakwaan Pengurusan Selangor FC Jadi Sasaran Seterusnya

0
79

Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua ahli pengurusan Selangor FC kemungkinan menjadi sasaran seterusnya susulan insiden menimpa pemain bintang pasukan itu, Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini dua laporan diterima daripada pihak pengurusan itu.

“Dua laporan bersangkut kes Faisal setakat ini dan ia sebahagian daripada siasatan.

“Setakat ini, pegawai pasukan yang menerima panggilan tidak membuat laporan (polis), tetapi dipanggil untuk keterangan semalam.

“Semua ini dalam siasatan lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dikhabarkan bakal menjadi sasaran seterusnya simbahan asid.

Menurut sumber, perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Selangor FC kepada Johan ketika melawat tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal di sebuah hospital swasta, pada Ahad.

Kata sumber itu, pegawai berkenaan mendapat panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengatakan Johan mangsa seterusnya dan perlu berhati-hati kerana dibimbangi menjadi mangsa simbahan asid.

Hari ini, polis dilaporkan berjaya menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 30-an di sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor.

Hussein berkata, suspek kedua itu direman lima hari bermula hari ini sehingga 11 Mei ini.

Katanya, siasatan kes berkenaan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here