Polis Perketatkan Kawalan Keselamatan Menjelang Perlawanan Akhir Piala Sumbangsih

0
54
Foto: Harian Metro

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor memberi jaminan, keselamatan semua pihak termasuk pemain akan diperketatkan menjelang perlawanan akhir Piala Sumbangsih 2024, Jumaat ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan akhir itu.

Katanya, pihaknya akan memastikan keselamatan perlawanan akhir yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim itu berada pada tahap tertinggi.

“PDRM Kontinjen Johor mahu maklumkan, kita tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pihak termasuk pemain, pada perlawanan akhir Piala Sumbangsih 2024, Jumaat ini.

“Keselamatan akan berada di tahap tertinggi, jadi sesiapa yang datang untuk perlawanan itu boleh hadir tanpa risau.

“Seramai 1,500 anggota akan bertugas pada perlawanan akhir berkenaan. Biasanya hanya sekitar 500 yang bertugas.

“Semua pihak yang hadir diingatkan supaya mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa dan jangan membuat provokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi, di sini, hari ini.

Hadir sama Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Jaminan beliau menyusul selepas media melaporkan ura-ura skuad Selangor FC menarik diri untuk mengharungi perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Ia berikutan maklumat membabitkan penginapan dan perjalanan pasukan Selangor FC untuk mengharungi perlawanan Piala Sumbangsih ‘bocor’ menyebabkan keselamatan skuad Gergasi Merah terancam.

Perkara itu didedahkan sumber rapat pasukan terbabit yang memaklumkan butiran atau maklumat berkaitan perkara itu yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum, namun sebaliknya berlaku.

Terdahulu, media melaporkan, tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan menimpa seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim, yang disimbah asid di sebuah pusat beli belah di ibu negara, Ahad lalu.

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) akan membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan naib juara, Selangor FC, Jumaat ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada kenyataan memaklumkan, perlawanan pembuka tirai itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor dan disusuli dengan saingan Liga Super 2024/2025 pada hari berikutnya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here