Di Nairobi, sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan terbunuh apabila polis menembak ke arah ratusan penunjuk perasaan yang menyerbu Parlimen Kenya, seperti yang dilaporkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam. Sebahagian dari bangunan Parlimen turut dibakar oleh kumpulan tersebut yang menentang cadangan kenaikan cukai.
Orang ramai yang marah dilaporkan melanggar barisan polis sebelum menyerbu kawasan tersebut dan membakar sebahagian daripadanya. Semalam, Presiden Kenya, William Ruto, menyatakan bahawa semua langkah akan diambil untuk “menggagalkan usaha-usaha penjenayah berbahaya yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara.”
Beliau juga mengarahkan tentera untuk mengawal protes tersebut. Bantahan terhadap penggubalan rang undang-undang (RUU), termasuk beberapa kenaikan cukai, berlanjutan selama beberapa hari. Namun, kemarahan meningkat semalam apabila ahli Parlimen meluluskan pindaan RUU tersebut.
“Polis dilaporkan melepaskan tembakan yang mengambil nyawa sekurang-kurangnya lima orang,” kata Persatuan Perubatan Kenya. Sementara itu, Ruto menegaskan bahawa pihaknya akan bertindak balas terhadap kekerasan yang digambarkan sebagai ‘keganasan dan anarki’.
Sumber: Kosmo