Polis Langgar Mati Pelajar Sekolah Didakwa, Tiada Pengakuan Direkodkan

0
210
Foto: Utusan Malaysia

IPOH, 18 Disember- Seorang pengawai kanan polis dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi atas tuduhan membunuh pelajar tingkatan 5 di Taman Jati, Ipoh Jumaat lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri Abdul Razak, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 tahun.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 15 Disember antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengahari di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dalam daerah Kinta, Perak.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Sebutan semula kes pada 7 Februari depan.

Pertuduhan dikendalikan oleh lapan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi; Khairul Azreem Mamat; Afzainizam Abdul Aziz; Saiful Akmal Mod Said; Nasrul Hadi Abdul Ghani; J S Geetha; Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong dari TY Teh & Partners.

Terdahulu, ahli keluarga mangsa dilihat tiba awal di mahkamah selain orang awam yang turut hadir bagi memberi sokongan.

Pegawai berpangkat DSP yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu sebelum ini direman selama tiga hari bermula Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Jumaat lalu, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Menurut saksi sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here