TELUK INTAN: Seorang anggota polis berdepan detik cemas apabila diseret kereta yang dipandu suspek kes samun yang mahu melarikan diri di Masjid Labu Kubong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata kejadian berkenaan berlaku semasa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu cuba menahan dua suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 31 tahun setelah mengekori mereka dari Ipoh selepas menerima aduan kejadian samun bersenjatakan parang jam 11.30 pagi.
Menurutnya, semasa proses tangkapan itu, suspek yang menaiki Perodua Myvi membuat pusingan U secara tiba-tiba dan mengundurkan kenderaannya hingga melanggar hadapan kenderaan polis.
“Polis kemudiannya keluar dari kenderaan dan seorang anggota polis cuba untuk membuka pintu belakang kereta suspek untuk melakukan tangkapan ke atas suspek yang duduk di bahagian belakang.
“Bagaimanapun, ia gagal kerana suspek yang memandu mengundur secara berbahaya menyeret anggota tadi menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah cermin hadapan kereta yang dinaiki oleh suspek untuk mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek terus memandu secara mengundur sehingga dihalang oleh sebuah kenderaan lain, lapor Kosmo.
“Semasa dihalang, suspek di bahagian belakang keluar dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh polis.
“Setelah itu, seorang lagi suspek yang memandu kereta terbabit membawa kenderaan ke hadapan dan mengundur beberapa kali dan berjaya melarikan diri, namun berjaya ditahan semula oleh polis di Kampung Rapat Ipoh.
Menurut Kosmo, suspek yang memandu Perodua Myvi terbabit luka di bahagian bahu sebelah kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, anggota polis yang diseret tidak mengalami kecederaan.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek yang memandu kereta terbabit mempunyai 24 rekod jenayah, manakala seorang lagi memiliki 11 rekod lampau.
“Polis juga berjaya menemukan paket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun semasa tangkapan dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.
Sumber: Berita Harian