PM, TPM Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga M Daud Kilau

0
128
Foto: SelangorKini

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bintang legenda, Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak semalam.

“Mendoakan Allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat yang terbaik di sisi-Nya.

“Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran tingkat tinggi kepada keluarganya.

“Terima kasih kerana pernah menghiburkan masyarakat di Malaysia dan menjadi antara permata tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dalam hantaran di Facebook menyifatkan pemergian penyanyi legenda itu adalah suatu yang mengejutkan dan tiada galang ganti.

Beliau berkata Allahyarham yang merupakan anak jati Bagan Datuk, Perak itu mempunyai karya seni yang bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di daerah itu, tetapi juga di seluruh negara.

“Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang cukup berbakat dan berjiwa besar.

“Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bintang legenda, Datuk M Daud Kilau.

Terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia dan pelantun lagu Cek Mek Molek, M Daud Kilau, 85, atau nama sebenarnya Mohd Daud Kilau disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira 4.40 petang semalam.

Raja Gelek Malaysia itu sebelum ini dilaporkan berdepan masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang pendengaran.

Sementara itu, anak sulungnya memaklumkan ayahnya sepatutnya perlu menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan.

Noraini Muhammad Daud, 58, berkata pembedahan itu ditangguhkan disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here