Nahas Bas Rompin: PM Serah Sumbangan Sebanyak RM40,000 Kepada Waris Mangsa

0
43
Foto: Sinar Harian

ALOR GAJAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada waris keluarga empat individu yang meninggal dunia terbabit dalam kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang awal pagi Ahad.

Sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir menyantuni kesemua keluarga terlibat.

Shamsul Iskandar ketika ditemui pemberita berkata sumbangan itu adalah sebagai tanda keperhatinan Perdana Menteri dan kerajaan kepada keluarga yang diuji dengan ujian sangat berat, di samping turut melahirkan rasa simpati  kepada keluarga berkenaan.

“Datuk Seri Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta sukarelawan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha membantu mangsa kemalangan.

“Kerajaan juga komited untuk terus berusaha memastikan keselamatan rakyat dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di pekan Ramuan China Besar di sini hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa bertanya khabar dan menyampaikan ucapan takziah daripada Perdana Menteri kepada keluarga arwah Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang juga Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram.

Beliau turut menziarahi keluarga guru SK Jeram Dahlia Ahmad, 52, di Kampung Sungai Tuang, keluarga Pembantu Operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60, di Kampung Londang dan keluarga Hadi Asyraf Mad Idris, 29, di Padang Temu.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 orang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari sekolah itu bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri satu program penanda aras.– BERNAMA

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here