PUTRAJAYA, 17 Oktober- Universiti awam di negara ini diarahkan untuk tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau tidak mampu membayar yuran.
Malah, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Arahan dikeluarkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan perkara berkenaan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi tadi.
Jelas beliau, arahan sedemikian yang merupakan pertama kali dalam sejarah negara, adalah semata-mata untuk memastikan para pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya sama sekali tidak akan mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.
“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor.
“Jadi saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dia dan kementerian atau jabatan harus selesaikan. Sementara dasar itu baik kita kena dapat maklumat,”katanya.
Terdahulu, Anwar berkata beliau dimaklumkan terdapat pelajar dari Ampang dan Tambun telah menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 iaitu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 bermula Januari depan.