PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Ireland, Norway, Sepanyol Kerana Iktiraf Palestin

0
39
Foto: Suara Keadilan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol kerana berada di landasan sejarah yang tepat, serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan, dalam mengiktiraf negara Palestin.

Anwar berkata, niat murni mereka untuk mengiktiraf negara Palestin seperti yang diumumkan semalam, adalah bukti bahawa mereka memperakui hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri.

“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua Timur Tengah. Kepada negara-negara lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini: bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin.

“Usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi. Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa ketiga-tiga negara itu membuat pengumuman akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi mulai 28 Mei.

Laporan oleh media Al Jazeera menyatakan bahawa di peringkat global 143 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf sebuah negara Palestin.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here