PM Akui Sedar Risiko Kelantangan Malaysia Berhubung Isu Palestin

0
121
Foto: Harapan Madani

RIYADH, 22 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Malaysia menyedari dan menjangka akan ada tindak balas dari beberapa negara Barat berhubung kelantangannya dalam menyuarakan isu Palestin.

Bagaimanapun, ia tidak akan menghalangnya daripada terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin di peringkat antarabangsa.

Anwar menjelaskan, beliau tiada pilihan berhubung perkara itu kerana isu Palestin melibatkan soal kemanusiaan kerana penduduknya terus sengsara akibat penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel.

“Ya, banyak risiko. Saya tidak ada pilihan kerana adanya pembunuhan melibatkan nyawa anak kecil dan wanita.

“Namun, saya tidak bimbang kerana adanya pendapat sama dari semua negara (ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Ada konsensus tentang soal kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Anwar memberitahu selain pentas Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-GCC, beliau turut membincangkan perkara itu secara peribadi dengan pemimpin beberapa negara ASEAN, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Raja Bahrain Hamad bin Isa, Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Mesir Abdel Fatah El-Sisi.

Sejurus menamatkan lawatan kerja di Arab Saudi, Anwar meneruskan perjalanan ke Istanbul untuk lawatan kerja dua hari di Turkiye dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, esok.

Antara topik yang dijadual dibincangkan dengan Erdogan ialah mengenai kebimbangan isu Israel-Palestin yang semakin meningkat.

Selepas pertemuannya dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan kerja ke Turkiye dan Mesir mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here