KUALA LUMPUR, 27 Disember- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati peserta piket solidariti untuk Palestin supaya tidak mendirikan sebarang struktur atau khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, sepanjang himpunan itu berlangsung.
Perhimpunan solidariti untuk Palestin ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ itu dijadual berlangsung selama enam hari bermula malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata piket berkenaan tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan perhimpunan terbabit.
Beliau berkata, pihak polis turut sama bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.
“Peserta perhimpunan tidak akan diarah bersurai jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa,”
“Namun, seandainya terdapat peserta yang mendirikan khemah, kita lihat nanti aPiketpa tindakan yang bakal diambil.
“Di kawasan ini terdapat kedutaan Amerika Syarikat, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kedutaan Jepun dan juga beberapa perwakilan asing dan ia menjadi tanggungjawab PDRM,” katanya.
Allaudeen berkata pihaknya telah menggerakkan sejumlah anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan di lokasi himpunan itu dan setakat ini bilangan itu mencukupi.
Piket tersebut ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin setakat 24 Disember lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.
Himpunan diadakab sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
Sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum mengambil bahagian, antaranya Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine.