Pesawah Didakwa Menghina Agong Di Grup WhatsApp Kariah

0
104
Foto: Kosmo

SEBERANG PERAI – Seorang pesawah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dengan mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam aktiviti perjudian di aplikasi WhatsApp, Khamis lalu.

Tertuduh, Azman Md Yusof, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut menerusi kumpulan WhatsApp Kariah Permatang Sungai Dua iaitu “Agong nak main judi dekat ckit” di sebuah rumah di Kampung Tok Rai, Kepala Batas, kira-kira pukul 8.45 malam, 25 April lalu.

Pertuduhan terhadap bapa kepada empat orang anak itu dilakukan mengikut perenggan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, dengan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Izad Buqhary Mohd. Kamri.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh selain meminta pertimbangan syarat tambahan iaitu menyahaktif Kumpulan WhatsApp yang menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).

Peguam tertuduh bagaimanapun merayu supaya jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pesawah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Nor Aini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan memuat naik sebarang hantaran di media sosial sehingga kes selesai. Kes tersebut akan disebut semula pada 20 Mei. -KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here