Kuala Lumpur: Perodua melaporkan kenaikan jualan sebanyak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku sama pada 2022, berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan dikeluarkan, iaitu kenaikan sebanyak 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.
“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, ia menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus daripada 206,837 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” katanya.
Zainal Abidin berkata, dengan berlakunya semua penambahbaikan ini, jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.
“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada 233,227 unit yang didaftarkan itu, model terbanyak yang dijual sehingga September 2023 adalah Perodua Bezza, diikuti oleh Perodua Axia dan Perodua Myvi.
“Perkembangan positif ini membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai.
“Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” katanya.
Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua mendaftar 28,995 unit kenderaan pada September 2023, kenaikan sebanyak 17.7 peratus daripada 24,626 pada September 2022.
Dari aspek pengeluaran, Perodua menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan sebanyak 8.2 peratus daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.
Sumber: Harian Metro