KUALA LUMPUR, 17 November 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA akan menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke 4 (KHUP4) bermula 28 hingga 30 November 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), Sepang.
Karnival ini merupakan platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini mengenai pakej haji, umrah dan pelancongan yang ditawarkan oleh 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah seliaan TH.

Menurut Ketua Jabatan Haji TH, Tuan Haji Mohd Hisham Harun, penganjuran KHUP4 bukan sekadar pameran malah merupakan satu platform ilmu, pengalaman dan komuniti haji, umrah serta pelancongan, Karnival ini akan memberi peluang kepada bakal haji untuk membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.
Tuan Haji Mohd Hisham turut memaklumkan bahawa TH telah meluluskan lesen PJH bagi musim haji 1447H kepada tambahan tiga (3) agensi pelancongan iaitu Citra Travel & Tours Sdn. Bhd., Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd. dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd. menjadikan bilangan PJH yang dilesenkan bagi musim haji 1447H berjumlah 34 PJH.

Antara tarikan KHUP4 termasuk Program Bual Bicara dan Podcast TH, Simulasi Haji Cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, persembahan artis nasyid seperti Raihan, Inteam dan Mawi, serta penampilan istimewa Omar & Hana, di samping kuiz interaktif, cabutan bertuah dan Bazar Karnival.
Pelbagai pakej ekonomi di bawah RM55,000 turut ditawarkan oleh PJH berlesen. Orang ramai boleh merujuk e-Brosur Pakej Haji 1447H/2026M melalui laman rasmi www.tabunghaji.gov.my.

“TH menyeru semua PJH memanfaatkan peluang KHUP4 untuk memperkenalkan pakej dan memberi kefahaman jelas kepada masyarakat. Semoga usaha bersama ini memperkukuh ekosistem haji negara dan membantu para Dhuyufurrahman mencapai haji yang mabrur,” ujar Tuan Haji Mohd Hisham.





