KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2025 – TV Sarawak (TVS), stesen televisyen pertama dari Bumi Kenyalang yang kini berkembang pesat di peringkat nasional, terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform media dinamik dengan penganjuran sidang media eksklusif “TVS Spotlight 25/26”.
Acara ini menjadi landasan penting untuk menyingkap visi dan hala tuju TVS bagi tahun 2026, termasuk memperkenalkan rangkaian program baharu merangkumi drama, hiburan, dokumentari serta liputan acara sukan ikonik, di samping mempersembahkan pakej penajaan 360° yang direka khusus untuk klien dan rakan strategik.
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, TVS komited mengangkat identiti Borneo ke pentas nasional melalui kandungan yang meraikan budaya dan warisan tempatan, sambil memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital untuk menjangkau penonton di seluruh Malaysia dan serantau.
Objektif: Meningkatkan Brand Visibility & Menarik Rakan Kongsi Strategik
Sebagai stesen televisyen yang semakin berkembang di persada nasional, TVS menekankan objektif untuk memperkukuh visibiliti jenama dan menawarkan platform iklan serta penajaan yang lebih menyeluruh.
Menurut Dato’ Norhyati Ismail, Pengerusi & Presiden TVS / Sarawak Media Group (SMG), “Matlamat kami adalah untuk meningkatkan brand visibility TVS, terutamanya di pasaran nasional, serta memperkenalkan kandungan baharu yang segar untuk 2026. Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak lagi rakan kongsi yang baharu, sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau dan nasional.”
Hala Tuju Baharu: Memanfaatkan TV & Digital
TVS akan terus memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital bagi memastikan capaian kandungan meluas dan berkesan. Tahun 2026 dijangka menjadi fasa penting apabila TVS memperkenalkan Gerak Khas 2.0, di samping pelbagai drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari dan liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao.
“Fokus kami adalah untuk menjadi media yang memahami dinamik Borneo sambil menghubungkan penonton ke seluruh Malaysia dan seterusnya,” ujar Dato’ Norhyati lagi.
Budaya & Identiti Borneo: Dari Sarawak Ke Pentas Nasional
TVS kekal sebagai saluran yang meraikan budaya, warisan dan identiti Borneo, sambil mengekalkan daya tarikan sejagat. Penceritaan tentang tradisi dan sejarah tempatan diterjemahkan melalui program seperti Sarawak Regatta dan Sambutan Perayaan Gawai, yang mampu menawan perhatian penonton di seluruh Malaysia serta rantau ASEAN.
“Melalui TVS, kami bukan sahaja meraikan warisan tempatan tetapi juga memperluaskan capaian agar jenama dan penonton di luar Sarawak dapat menikmati pengalaman yang unik,” tambah Dato’ Norhyati.
Pakej Menyeluruh: Penyelesaian Iklan 360°
Menyedari kepelbagaian keperluan pengiklan, TVS memperkenalkan pakej penajaan menyeluruh (360°) yang merangkumi platform televisyen, digital, sosial serta papan iklan LED berimpak tinggi. Kolaborasi bersama rakan media seperti Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM menjadikan TVS sebuah platform pengiklanan bersepadu.
“Jenama anda bukan sahaja akan dilihat di satu skrin, tetapi di setiap skrin – sama ada di rumah, dalam talian atau di jalan raya. Dengan gabungan kandungan serantau, capaian nasional dan visibiliti rentas sempadan, TVS menawarkan peluang untuk membina hubungan jenama yang kukuh di seluruh Malaysia,” tegas Dato’ Norhyati.
Sokongan Kepada Bakat Tempatan
TVS turut mengukuhkan ekosistem kreatif negara dengan memberi peluang luas kepada produksi tempatan dan bakat baharu. Sehingga kini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan TVS, mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk anak seni dan karyawan tempatan.
“TVS komited untuk terus mengembangkan industri kreatif tempatan dan industri pengiklanan, bagi memacu pertumbuhan sektor kreatif serta membina ekosistem media yang mampan di Malaysia,” kata Dato’ Norhyati.
Sasaran Penonton & Visi Jangka Panjang
Penonton sasaran TVS meliputi seluruh Malaysia, dari Perlis hingga Sabah, dengan misi memperluas pengaruh ke pasaran serantau. Dengan capaian yang semakin meluas melalui platform digital, TVS yakin mampu memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu pemain utama industri penyiaran Malaysia.
“Kami yakin ‘TVS Spotlight 25/26’ ini akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” akhiri Dato’ Norhyati Ismail.