Kuala Lumpur: Agrobank, melancarkan kempen Raikan Wanita Dengan Kad Debit AGRO-i yang menawarkan pulangan tunai menarik sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank menghargai jasa dan pengorbanan wanita yang bukan sahaja berperanan sebagai tulang belakang dalam institusi keluarga, tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada kelestarian ekonomi negara.
Katanya, ini menunjukkan peranan mereka tidak terhad di dalam rumah sahaja.
“Oleh itu, kempen Raikan Wanita Dengan Kad Debit AGRO-i ini dirangka untuk memberi penghargaan buat kaum wanita.
“Selain itu, inisiatif ini juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai perkhidmatan kewangan komprehensif yang ditawarkan Agrobank,” katanya dalam kenyataan.
Kempen yag bermula dari 8 hingga 12 Mac ini terbuka kepada semua pelanggan wanita Agrobank yang memiliki Kad Debit AGRO-i.
Sepanjang tempoh kempen eksklusif ini, pelanggan wanita Agrobank yang berusia 18 tahun dan ke atas berpeluang menikmati pulangan tunai sebanyak 15 peratus.
Pelanggan perlu membuat perbelanjaan minimum RM50 di mana-mana kedai fizikal dengan menggunakan Kad Debit AGRO-i.
Tengku Ahmad berkata, selain menawarkan kemudahan pembiayaan yang menyumbang kepada kelestarian rantaian makanan, Agrobank juga memberi tumpuan kepada penyelesaian kewangan yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan harian pelanggan.
Menurutnya, tawaran pulangan tunai yang menarik terbabit memberi ganjaran kepada wanita, dalam setiap keputusan kewangan mereka, di samping memacu ekonomi melalui peningkatan kuasa beli mereka.
“Penggunaan kad debit secara kerap untuk memperoleh pulangan tunai memudahkan pelanggan kerana tiada proses penebusan yang rumit.
“Pelanggan wanita Agrobank hanya perlu berbelanja dan dapatkan pulangan tunai sehingga RM50,” katanya.
Selain itu, melalui pelancaran kempen ini, Agrobank komited menawarkan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses di samping memperkukuh peranan wanita dalam memacu ekonomi.
Sumber – Harian Metro





