Permohonan UPU Ke IPTA, ILKA Dibuka Hari Ini

0
114
Foto: Berita Harian

PETALING JAYA – Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUOnline® akan dibuka bermula esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu adalah bagi program Asasi, Sijil, Diploma & Ijazah Sarjana Muda di 20 UA, 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat ILKA melalui UPUOnline®.

Katanya, permohonan Fasa 1 akan dibuka esok hingga 29 Mac 2024 dan Fasa Kedua pada 29 April hingga 9 Jun 2024.

Permohonan terbuka untuk pelajar Lepasan SPM dan STPM/Setaraf bagi semua program pengajian untuk permohonan Fasa Pertama, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan ujian dibuka untuk permohonan Fasa Kedua.

“Pembelian nombor pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.

“BSN akan mengeluarkan nombor pin beserta salinan resit pembayaran.

“Pemohon juga diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian,” katanya.

Menurutnya lagi, semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Terdapat sebanyak 503 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,111 buah program pengajian Komuniti dan ILKA seluruh negara.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® tersebut boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5 62000 Putrajaya.

Selain itu, boleh menghubungi talian 03-8684 2363, emel upu@mohe.gov.my, Facebook @Kemasukan BPKP JPT dan Instagram@KEMASUKANBPKA.  – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here