Periksa Dahulu Kenalan Mahu Pinjam Wang, Dikhuatiri ‘Scammer’

0
125
Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berwaspada sekiranya terdapat rakan atau kenalan menghubungi melalui aplikasi media sosial untuk pinjaman wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tempoh 2023, pihaknya merekodkan sejumlah 494 kes penyamaran sebagai rakan telah disiasat melibatkan kerugian RM238,732.

Tambah beliau, bgi tempoh 1 hingga 20 Januari pula, sebanyak 50 kes telah dicatat dengan kerugian RM238,732.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati melakukan penggodaman ke atas akau Telegram dan WhatsApp untuk meminjam wang.

“Pemilik sebenar akaun telegram hanya menyedari perkara ini apabila akaun media sosial mereka tidak dapat diakses ataupun menerima panggilan dari kenalan mereka berkenaan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang yang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank digunakan adalah milik individu lain.

Katanya, apa sahaja alasan yang diberikan, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan tersebut bagi tujuan pengesahan.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-2111222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here